Salam Hormat dari kami di CGC.
Saya ingin mengalu-alukan kesudian anda melayari laman sesawang kami.
Selaras dengan visi kami untuk menjadi sebuah institusi kewangan yang berdedikasi dalam mempromosikan pertumbuhan dan pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang berdaya saing dan dinamik, izinkan saya berkongsi inisiatif utama yang telah dilaksanakan oleh CGC pada tahun 2015. Memandangkan PKS merupakan jentera kepada pertumbuhan ekonomi negara, kami di CGC sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan kami. Ini adalah untuk memenuhi keperluan dari segi pembiayaan kepada PKS bagi membolehkan mereka memulakan atau mengembangkan perniagaan. Kami telah menjalin usahama strategik bersama pelbagai institusi kewangan dalam memastikan akses pembiayaan yang lebih luas kepada PKS. Kami juga telah mengambil beberapa inisiatif bagi mendekati PKS di seluruh negara melalui ‘Klinik Usahawan’ yang dianjurkan oleh CGC, penyertaan dalam seminar, pameran dan persidangan yang dianjurkan oleh Bank Negara Malaysia, SME Corp dan agensi-agensi kerajaan yang lain. Inisiatif serta aktiviti yang dianjurkan telah memanfaatkan kira-kira 3,800 PKS. Sila klik di sini jika anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai aktiviti yang dianjurkan.
Saya juga dengan sukacitanya memaklumkan bahawa laman web kami kini boleh didapati dalam empat (4) bahasa utama iaitu Bahasa Malaysia, Mandarin, Tamil dan Inggeris. Secara tidak langsung, ia membolehkan kami menyebarkan maklumat mengenai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan dengan lebih efisyen kepada pihak berkepentingan kami. Di peringkat antarabangsa, Skim Jaminan Borong Islam (WG-i) CGC telah dianugerahkan ‘Development Award 2015’ di bawah kategori Pembangunan PKS oleh Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan di Asia dan Pasifik (ADFIAP) pada bulan Mei 2015. Pada bulan Jun 2015, produk pembiayaan langsung BizMula-i bagi Perniagaan Baharu juga menerima pengiktirafan antarabangsa bagi Inovasi Terbaik dalam Perkhidmatan Kewangan di Majlis Penganugerahan Karlsruhe Sustainable Finance Award yang diadakan bersempena Persidangan ‘Global Sustainable Finance’ di Karlsruhe, Jerman.
Kami turut merakamkan penghargaan kami kepada rakan kongsi strategik kami dalam industri kewangan melalui Anugerah Pendokong Utama PKS bagi mengiktiraf sokongan mereka yang memberangsangkan terhadap pembiayaan PKS. Buat pertama kalinya, kami juga telah mengambil bahagian sebagai salah satu penaja utama di Star Outstanding Business Awards (SOBA) 2015 sebagai tanda sokongan kami kepada PKS yang berpotensi dan telah berjaya di Malaysia.
Kejayaan BizMula-i yang dilancarkan pada Mei 2014 telah mendorong kami untuk melancarkan BizWanita-i pada Oktober 2015, satu lagi produk pembiayaan langsung yang inovatif untuk usahawan wanita. Produk ini direka khusus untuk membantu menjana perniagaan usahawan wanita dan perniagaan yang diterajui wanita dalam mengembangkan dan menjayakan perniagaan mereka disamping mencapai kebebasan kewangan serta kejayaan berterusan.
Pada Disember 2015, kami telah melancarkan produk pembiayaan langsung terbaru kami, iaitu Skim Bantuan Khas (SBK-i) kepada para pelanggan yang sedia ada dalam membantu meringankan beban kewangan mereka sekiranya berlaku bencana alam. Melalui SBK-i, kami menyediakan pembiayaan untuk pemerolehan aset dan modal kerja bagi membolehkan para pelanggan memulih dan menyambung semula operasi perniagaan selepas berlakunya bencana alam seperti banjir semasa musim tengkujuh.
Menyumbang semula kepada masyarakat merupakan sebahagian daripada tunjang utama CGC dalam usaha kami membantu golongan yang kurang bernasib baik. Kami telah menganjurkan satu siri Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersempena sambutan perayaan utama dan juga bagi menyokong usaha-usaha amal yang lain. Kami merancang untuk meneruskan program kemasyarakatan kami pada tahun ini supaya dapat mendekati lebih ramai warga Malaysia yang memerlukan sokongan moral dan kewangan.
Akhir kata, bagi pihak rakan sekerja saya di CGC, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan dan pihak berkepentingan kami diatas kepercayaan dan sokongan mereka kepada CGC. Tahun 2016 akan mempunyai cabarannya yang tersendiri akan tetapi saya yakin bahawa dengan komitmen dan dedikasi yang berterusan, kami boleh mencapai kejayaan yang lebih memberangsangkan.
Wasalam / Salam Hormat
Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak


